Wednesday, 20 November 2019

Check in Wang lebih setengah Juta..





Sebahagian anggota polis yang menerima penghargaan berikutan intergriti mereka dalam menyelesaikan kes.



MELARIKAN wang tunai sebanyak RM600,000 dan menyimpannya di dalam bilik sebuah hotel yang didaftar masuk untuk tempoh seminggu.
Tindakan licik empat pekerja sebuah syarikat kawalan keselamatan di Raub itu kononnya untuk mengaburi mata pihak berkuasa selepas melakukan jenayah itu, pada 14 November lalu.
Namun, hasrat empat lelaki itu untuk berjoli dengan wang berkenaan tidak kesampaian apabila mereka diberkas dalam tempoh 24 jam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, keempat-empat suspek ditugaskan untuk menghantar hasil kutipan harian berjumlah RM2.8 juta dari sebuah bank di bandar berkenaan ke ibu pejabat syarikat kawalan keselamatan itu di Kota Damansara, Selangor untuk tujuan penyimpanan.
Katanya, wang tunai itu diletakkan di dalam 10 beg kecil dan ia disimpan di dalam empat beg kanvas.
Bagaimanapun, ketika juruaudit melakukan semakan pada keesokan harinya, dia mendapati satu beg kecil yang mengandungi wang tunai RM600,000 didapati hilang.
“Pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub bertindak mengesan suspek sebelum berjaya menahan mereka jam 12 tengah hari pada hari sama di beberapa lokasi di daerah itu.
“Kita juga menemui semula wang tunai sebanyak RM599,300 yang disimpan di dalam dua beg galas dan diletakkan di dalam almari bilik sebuah hotel,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek mengambil wang RM700 daripada keseluruhan wang yang dilarikan itu untuk membayar bilik hotel berkenaan.
Katanya, suspek turut berpesan kepada pihak pengurusan hotel itu supaya tidak membersihkan bilik berkenaan sepanjang tempoh tujuh hari bilik itu didaftar masuk.
“Siasatan awal mendapati semua suspek tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menghantar wang tunai itu ke Kota Damansara dengan berhenti sebanyak dua kali iaitu mengisi minyak dan menerima beg lain dari cawangan syarikat itu di Bentong.
“Kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 51 tahun itu baru bekerja dengan syarikat berkenaan kira-kira empat bulan dan kita percaya dua daripada mereka adalah perancang utama dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Semua suspek direman sehingga 22 November ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

SUMBER : Harian Metro Online


No comments:

Post a Comment