SEPATUTNYA dia menjadi contoh kepada pelajar, namun lain pula jadinya apabila guru lelaki ditahan kerana berlumba haram di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dekat Balik Pulau, hari ini.
Dalam Op Samseng Jalanan 2 pagi itu, guru berusia 25 tahun berkenaan ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sebagai tukang masak.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, guru terbabit menunggang motosikal Yamaha YZF-R1 kuning manakala tukang masak itu pula menunggang Aprilia RSV4 merah.
Menurutnya, dua suspek terbabit didapati berlumba sambil menunjukkan aksi berbahaya yang bukan saja boleh memudaratkan diri sendiri malah turut memberi kesan kepada pengguna jalan raya lain.
“Siastan lanjut mendapati guru berkenaan masih dalam tempoh percubaan dan mengajar di sebuah sekolah menengah di kawasan Timur Laut.
“Dua suspek berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis dan kita merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Anbalagan ketika ditanya sama ada dua suspek terbabit bertaruh wang ketika berlumba berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Pemeriksaan air kencing mendapati kedua-dua mereka bebas daripada sebarang pengaruh dadah,” katanya.
Difahamkan, golongan mat rempit memang menjadikan laluan sepanjang lebuh raya berkenaan untuk berlumba terutama menjelang malam minggu.
Perlumbaan selalunya bermula dari lampu isyarat Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu/Jalan Kampung Jawa sehingga lampu isyarat medan selera Seagate sebelum berpatah balik.
SUMBER : HARIAN METRO ONLINE
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 11:56 AM
No comments:
Post a Comment